Sunday, March 29, 2009

kata cinta untuk muslimah


Sedikit renungan buat kaum hawa....pandanglah kata-kataku ini dengan pandangan kasihnya seorang saudara kepada saudara yang lain. Renunglah dengan mata hatimu setulusnya. Janganlah dek kerana peribadi burukku, menghalang dirimu melakukan yang terbaik buat dirimu sendiri dan demi keagungan agama Allah SWT. Ambillah mutiara kata yang baik buat teladan dan tinggalkan kata-kataku yang menyimpang daripada landasan kebenaran........
Sahabatku, bermula hari ini binalah sebuah kehidupan baru. jadilah manusia berhati mulia dan tegakkanlah sinar islam dalam dirimu, semoga Allah SWT menyinari seluruh kehidupanmu dunia akhirat.

Duhai sahabat muslimahku...keremajaanmu menyegarkan pandangan dan melimpahkan nyaman pada malam. Dengan keremajaanmu, kau bisa sahaja menakluk dunia dengan lalai dan leka tanpa kesedaran. Ingatlah, kau bukan dilahir sebagai penggoda yang melekakan dunia. kesegaran dan kejelitaanmu adalah fana belaka. Kelembutan yang menghiasi gerak langkah dan lentuk tubuhmu bakal menyaksikan kau cepat terdedah kepada bahaya dan bahana maksiat. Peliharalah keindahan yang kau miliki kerana Allah SWT mengujimu dengan menerbitkan kau pada bentuk yang sangat indah, halus dan sempurna. Berhati-hatilah sesungguhnya kaum ADAM akan menilaimu dengan pandangan yang luar biasa. Cahaya keriangan di wajahmu adalah kilauan senjata yang menawan. Madu yang menitiskan sarinya meresapkan manisnya dari bibir langsung ke hati adalah suara lembut sang gadis. Elokkanlah nada suaramu dan perlahankan gema bahasamu. Berhati-hatilah menggunakan lidahmu, jangan sampai bibirmu menutur bait-bait tajam yang akan menyakiti hati orang lain. Fikirkanlah dengan akalmu sebelum bersuara dan pandanglah teman bicara.

Tertib dan sopanmu bagai hembusan angin yang mendamaikan. Sahabat muslimahku, jagalah matamu kerana pandangan matamu akan mengalir ke hati dan terbiaslah sesuatu dari panahan syaitan durjana. Jangan sesekali kau memandang mata lelaki dengan sejenak renungan. jangan biarkan mereka menafsirkan makna yang kau bukan mahukan. Pandanglah tanpa memberi sebarang makna. Jadikanlah ghadul basar sebagai hiasan matamu. Rebahkan pandanganmu, renunglah setiap inci bumi, nescaya kau berjaya menghindari dosa yang cuba merapatimu. Sahabat yang dikasihi, sesekali dongaklah ke langit dan lihatlah kerdipan bintang-bintang, nescaya kau akan temui berjuta keagungan ciptaan Rabbul A'lamin. Betapa hidup ini berjalan di atas hikmah dan terselindung daunan pengertian. Hari-hari yang dilalui sebenarnya banyak menyembunyikan hakikat dan makrifat.

Sedarlah, hidupmu ini hanyalah secebis dari erti kehidupan. Selamilah dasar hatimu dan berbisiklah pada diri 'Alangkah kosongnya jiwa, alangkah hinanya roh tanpa hiasan apa-apa'. Salutilah dirimu dengan iman, kerana ia sangat manis pada pandangan jua perhiasan. Bersihkanlah hatimu, kemanisan iman sukar dikecapi tanpa janji Allah SWT. Jadilah muslimah yang gemar merenung kejadian yang berlaku dan memerhati hikmah dengan pandangan mata hati. Muslimah yang sejati adalah mereka yang selalu berhikmah dalam berkata-kata dan meletakkan perasaan rendah diri sebagai asas mencari ketaqwaan. Zuhud dalam pencarian dunia dengan meletakkan tasawuf ke akhirat sebagai pedoman serta melupakan sifat cintakan dunia yang berlebihan.

Serikandi muslimah sejati...
Alangkah baiknya di saat-saat kau dilanda badai kau tegar mengutip akar-akar kemelaratan dan teguh mengukir senyuman buat pengubat kerungsingan. Tatkala kau dalam dilema permasalahan yang meruncing serta kau berasa berputus harap dengan dunia, maka sebutlah dan berzikirlah ke hadrat Ilahi, moga kau bakal bertemu kedamaian. Sucikanlah wajahmu dengan air wudhuk dan basahkan matamu dengan air mata keinsafan.

-dipetik dari hasil tulisan ustaz_saff, iluvislam.com

No comments:

Post a Comment