Tuesday, March 31, 2009

3 Malam 1 Cerita

Sesekali Abu Sufyan membelingas, khuatir kalau ada orang yang melihatnya. Tetapi tidak ada apa yang nampak selain hitam malam yang pekat. Dua tiga langkah ke depan, dia tertoleh-toleh lagi. Tidak percaya pada gelap malam yang menyelimuti, dia tidak boleh melihat sesiapa, begitu juga sebaliknya.

Semakin dekat ke tempat dituju, semakin berasa tidak sabar pula dia. Langkah yang diatur berhati-hati dicepatkan sedikit. Tetapi kemudiannya perlahan-lahan langkah bersemangat itu menjadi kendur dan mati dengan sendiri. Abu Sufyan tercegat seorang diri di dalam gelap, berdekatan sebuah rumah. Tidak mahu melangkah lagi.

Sebaliknya membuka seluas-luasnya deria pendengaran, menangkap suara yang datang dari rumah itu. Diamati dengan cermat, tidak mahu tercicir sepatah pun. Semakin lama dia berasa semakin asyik dan terpesona. Terbuai-buai dengan untaian suara yang lunak dan menyentuh perasaan.

Lebih daripada itu, patah-patah kalimah yang diucapkan terasa cukup indah sekali. Abu Sufyan boleh merasai kedamaiannya, melata ke seluruh ruang sanubari. Lalu mengheret langkahnya semakin mendekat lagi ke rumah itu.

Abu Sufyan tidak kisah lagi terpaksa berdiri lama di dalam gelap. Dia ingin menikmati bait-bait pengucapan yang bersenandung di dalam rumah itu. Semuanya jelas dan nyata di telinganya. Semuanya benar dan sempurna pada penilaiannya. Abu Sufyan semakin dihanyutkan alun emosinya sendiri.

Dia beredar setelah tidak kedengaran lagi suara yang berlagu itu. Hanya bekasnya yang tertinggal melekat di dalam dada. Memerangkap Abu Sufyan dengan keresahan yang hebat, tidak tahu perasaan apa yang sedang menyerang dirinya.

"Hei! Siapa itu?" satu suara tiba-tiba menyergah, mematikan langkah Abu Sufyan.

Sekali ingat, rasanya dia amat biasa dengan suara itu. Tetapi tidak mungkin....mustahil itu suara daripada orang yang cukup dikenalinya. Buat apa dia ke situ pada tengah-tengah malam begitu. Dalam kegelapan, Abu Sufyan melihat sesusuk tubuh manusia berbalam-balam bergerak ke arahnya.

Pertemuan Dalam Gelap

"Engkau Abu Sufyan? Apa yang engkau buat disini?"

"Engkau pula....apa yang engkau buat di sini?" balas Abu Sufyan. Telahannya tadi tidak meleset. Memang sah dia ditegur seorang yang memang sangat dikenali. Kawan baiknya - Abu Jahal. Tetapi kenapa Abu Jahal boleh berada di situ?

"Jangan-jangan engkau datang mendengar Muhammad membaca al-Quran?" Abu Jahal menebak.

Tidak sempat Abu Sufyan menjawab, terdengar derap kaki seseorang sedang berjalan. Dalam kesamaran cahaya malam, semakin lama semakin jelas kelibat orang itu. Abu Sufyan dan Abu Jahal saling berpandangan. Orang itu melintas hampir dengan tempat mereka berdiri. Mungkin tidak perasan kerana keadaan yang gelap.

"Hei! Siapa itu?" SErgahan Abu Jahal serta merta membuatkan orang itu berhenti melangkah. Selepas diam sejurus dia bergerak mendapatkan Abu Jahal.

"Akhnas?!" ucap Abu Jahal dan Abu Sufyan hampir serentak. Akhnas bin Syarik, seorang pembesar Quraisy yang juga kawan baik mereka.

"Apa yang kamu berdua buat dalam gelap ni?" Akhnas melontar pertanyaan.

"Soalan itulah yang hendak aku tanyakan kepadamu." tingkah Abu Jahal.

"Engkau dari rumah Muhammad?" Abu Sufyan pula bertanya

"Haah! mengarutlah. Buat apa ke sana?" sepat Akhnas menyanggah.

"Mungkin mencuri dengar Muhammad membaca al-Quran," Abu Jahal meneka. Tekaan yang tadinya ditujukan kepada Abu Sufyan tetapi tidak sempat dijawab.

"Mana engkau tau Muhammad membaca al-Quran?" giat Akhnas pula.

Abu Jahal terkedu. Terperangkap dalam jeratnya sendiri. Tetapi dia cuba mencipta alasan untuk meloloskan diri,"Aku agak saja. Manalah tahu malam-malam begini dia membaca al-Quran."

"Berterus-terang sajalah, wahai Abal Hakam. Cara engkau bercakap pun aku tahu engkau cuba sembunyikan sesuatu," kilas Akhnas.

"Jadi, kita bertiga ke sini untuk mendengar Muhammad membaca al-Quran?" Abu Jahal akhirnya mengaku, walaupun bernada pertanyaan.

Malam Esok Datang Lagi

"Ayat-ayat yang dibacakan oleh Muhammad tadi cukup indah sekali. Terpesona aku dibuatnya," Akhnas memberi komen tanpa berselindung.

"Gila kau! Jangan sampai engkau terpedaya dengan puisi gubahan anak saudara Abu Talib itu!" cepat Abu Jahal membentak. Tidak suka benar dia dengan apa yang diucapkan oleh kawannya itu.

"Ingat, jangan sampai apa yang berlaku malam ini diketahui orang lain. Lebih-lebih lagi Muhammad." Abu Sufyan memberi pesan kepada dua orang kawannya. "Kalau tidak malu besar kita nanti."

"Cukuplah malam ini sahaja kita ke mari. Selepas ini jangan ke mari lagi," kata Abu Jahal pula sambil beredar pergi.

Malam yang gelap gelita itu pun setia menyimpan rahsia. Tetapi tatkala senja keesokan harinya turun menyerkup alam, Abu Sufyan mula keresahan. Abu Jahal mula merancang-rancang. Akhnas pula mula digoda keinginan yang kian tidak tertahan. Entah kenapa berasa terlalu lambat pula masa bergerak, menunggu malam betul-betul matang.

Akhnas kelemasan diasak kehendak yang meronta-ronta. Dia cuba bertahan tetapi nyata desakan dalaman terlalu kuat. Begitu juga dengan Abu Jahal dan Abu Sufyan. Akhirnya menurut saja kaki yang melangkah. Tiga sekawan menyusuri tiga laluan menuju ke satu tujuan dengan satu keinginan.

Mereka kemudiannya terkejut lagi kerana bertemu di lorong yang menghala pulang. Lalu berjanji tidak mahu datang lagi. Tetapi malam berikutnya perkara yang sama juga berlaku. Dan janji malam yang ketiga itu barulah betul-betul dipatuhi.

No comments:

Post a Comment