Tuesday, March 31, 2009

3 Malam 1 Cerita

Sesekali Abu Sufyan membelingas, khuatir kalau ada orang yang melihatnya. Tetapi tidak ada apa yang nampak selain hitam malam yang pekat. Dua tiga langkah ke depan, dia tertoleh-toleh lagi. Tidak percaya pada gelap malam yang menyelimuti, dia tidak boleh melihat sesiapa, begitu juga sebaliknya.

Semakin dekat ke tempat dituju, semakin berasa tidak sabar pula dia. Langkah yang diatur berhati-hati dicepatkan sedikit. Tetapi kemudiannya perlahan-lahan langkah bersemangat itu menjadi kendur dan mati dengan sendiri. Abu Sufyan tercegat seorang diri di dalam gelap, berdekatan sebuah rumah. Tidak mahu melangkah lagi.

Sebaliknya membuka seluas-luasnya deria pendengaran, menangkap suara yang datang dari rumah itu. Diamati dengan cermat, tidak mahu tercicir sepatah pun. Semakin lama dia berasa semakin asyik dan terpesona. Terbuai-buai dengan untaian suara yang lunak dan menyentuh perasaan.

Lebih daripada itu, patah-patah kalimah yang diucapkan terasa cukup indah sekali. Abu Sufyan boleh merasai kedamaiannya, melata ke seluruh ruang sanubari. Lalu mengheret langkahnya semakin mendekat lagi ke rumah itu.

Abu Sufyan tidak kisah lagi terpaksa berdiri lama di dalam gelap. Dia ingin menikmati bait-bait pengucapan yang bersenandung di dalam rumah itu. Semuanya jelas dan nyata di telinganya. Semuanya benar dan sempurna pada penilaiannya. Abu Sufyan semakin dihanyutkan alun emosinya sendiri.

Dia beredar setelah tidak kedengaran lagi suara yang berlagu itu. Hanya bekasnya yang tertinggal melekat di dalam dada. Memerangkap Abu Sufyan dengan keresahan yang hebat, tidak tahu perasaan apa yang sedang menyerang dirinya.

"Hei! Siapa itu?" satu suara tiba-tiba menyergah, mematikan langkah Abu Sufyan.

Sekali ingat, rasanya dia amat biasa dengan suara itu. Tetapi tidak mungkin....mustahil itu suara daripada orang yang cukup dikenalinya. Buat apa dia ke situ pada tengah-tengah malam begitu. Dalam kegelapan, Abu Sufyan melihat sesusuk tubuh manusia berbalam-balam bergerak ke arahnya.

Pertemuan Dalam Gelap

"Engkau Abu Sufyan? Apa yang engkau buat disini?"

"Engkau pula....apa yang engkau buat di sini?" balas Abu Sufyan. Telahannya tadi tidak meleset. Memang sah dia ditegur seorang yang memang sangat dikenali. Kawan baiknya - Abu Jahal. Tetapi kenapa Abu Jahal boleh berada di situ?

"Jangan-jangan engkau datang mendengar Muhammad membaca al-Quran?" Abu Jahal menebak.

Tidak sempat Abu Sufyan menjawab, terdengar derap kaki seseorang sedang berjalan. Dalam kesamaran cahaya malam, semakin lama semakin jelas kelibat orang itu. Abu Sufyan dan Abu Jahal saling berpandangan. Orang itu melintas hampir dengan tempat mereka berdiri. Mungkin tidak perasan kerana keadaan yang gelap.

"Hei! Siapa itu?" SErgahan Abu Jahal serta merta membuatkan orang itu berhenti melangkah. Selepas diam sejurus dia bergerak mendapatkan Abu Jahal.

"Akhnas?!" ucap Abu Jahal dan Abu Sufyan hampir serentak. Akhnas bin Syarik, seorang pembesar Quraisy yang juga kawan baik mereka.

"Apa yang kamu berdua buat dalam gelap ni?" Akhnas melontar pertanyaan.

"Soalan itulah yang hendak aku tanyakan kepadamu." tingkah Abu Jahal.

"Engkau dari rumah Muhammad?" Abu Sufyan pula bertanya

"Haah! mengarutlah. Buat apa ke sana?" sepat Akhnas menyanggah.

"Mungkin mencuri dengar Muhammad membaca al-Quran," Abu Jahal meneka. Tekaan yang tadinya ditujukan kepada Abu Sufyan tetapi tidak sempat dijawab.

"Mana engkau tau Muhammad membaca al-Quran?" giat Akhnas pula.

Abu Jahal terkedu. Terperangkap dalam jeratnya sendiri. Tetapi dia cuba mencipta alasan untuk meloloskan diri,"Aku agak saja. Manalah tahu malam-malam begini dia membaca al-Quran."

"Berterus-terang sajalah, wahai Abal Hakam. Cara engkau bercakap pun aku tahu engkau cuba sembunyikan sesuatu," kilas Akhnas.

"Jadi, kita bertiga ke sini untuk mendengar Muhammad membaca al-Quran?" Abu Jahal akhirnya mengaku, walaupun bernada pertanyaan.

Malam Esok Datang Lagi

"Ayat-ayat yang dibacakan oleh Muhammad tadi cukup indah sekali. Terpesona aku dibuatnya," Akhnas memberi komen tanpa berselindung.

"Gila kau! Jangan sampai engkau terpedaya dengan puisi gubahan anak saudara Abu Talib itu!" cepat Abu Jahal membentak. Tidak suka benar dia dengan apa yang diucapkan oleh kawannya itu.

"Ingat, jangan sampai apa yang berlaku malam ini diketahui orang lain. Lebih-lebih lagi Muhammad." Abu Sufyan memberi pesan kepada dua orang kawannya. "Kalau tidak malu besar kita nanti."

"Cukuplah malam ini sahaja kita ke mari. Selepas ini jangan ke mari lagi," kata Abu Jahal pula sambil beredar pergi.

Malam yang gelap gelita itu pun setia menyimpan rahsia. Tetapi tatkala senja keesokan harinya turun menyerkup alam, Abu Sufyan mula keresahan. Abu Jahal mula merancang-rancang. Akhnas pula mula digoda keinginan yang kian tidak tertahan. Entah kenapa berasa terlalu lambat pula masa bergerak, menunggu malam betul-betul matang.

Akhnas kelemasan diasak kehendak yang meronta-ronta. Dia cuba bertahan tetapi nyata desakan dalaman terlalu kuat. Begitu juga dengan Abu Jahal dan Abu Sufyan. Akhirnya menurut saja kaki yang melangkah. Tiga sekawan menyusuri tiga laluan menuju ke satu tujuan dengan satu keinginan.

Mereka kemudiannya terkejut lagi kerana bertemu di lorong yang menghala pulang. Lalu berjanji tidak mahu datang lagi. Tetapi malam berikutnya perkara yang sama juga berlaku. Dan janji malam yang ketiga itu barulah betul-betul dipatuhi.

Monday, March 30, 2009

kurang akal, kurang agama

Renungan buat kaum Hawa.................

Dari Abdullah bin Umar katanya, Rasulullah telah bersabda yang bermaksud, "Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu dan banyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun, kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka."

Seorang wanita yang cukup pintar antara mereka bertanya, " Wahai Rasulullah, mengapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?"

Rasulullah bersabda, "Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu."

Wanita itu bertanya lagi,"Wahai Rasulullah, apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?"

Rasulullah bersabda," Maksud kekurangan akal adalah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya, kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama."

(Hadits Riwayat Muslim)

Sunday, March 29, 2009

kata cinta untuk muslimah


Sedikit renungan buat kaum hawa....pandanglah kata-kataku ini dengan pandangan kasihnya seorang saudara kepada saudara yang lain. Renunglah dengan mata hatimu setulusnya. Janganlah dek kerana peribadi burukku, menghalang dirimu melakukan yang terbaik buat dirimu sendiri dan demi keagungan agama Allah SWT. Ambillah mutiara kata yang baik buat teladan dan tinggalkan kata-kataku yang menyimpang daripada landasan kebenaran........
Sahabatku, bermula hari ini binalah sebuah kehidupan baru. jadilah manusia berhati mulia dan tegakkanlah sinar islam dalam dirimu, semoga Allah SWT menyinari seluruh kehidupanmu dunia akhirat.

Duhai sahabat muslimahku...keremajaanmu menyegarkan pandangan dan melimpahkan nyaman pada malam. Dengan keremajaanmu, kau bisa sahaja menakluk dunia dengan lalai dan leka tanpa kesedaran. Ingatlah, kau bukan dilahir sebagai penggoda yang melekakan dunia. kesegaran dan kejelitaanmu adalah fana belaka. Kelembutan yang menghiasi gerak langkah dan lentuk tubuhmu bakal menyaksikan kau cepat terdedah kepada bahaya dan bahana maksiat. Peliharalah keindahan yang kau miliki kerana Allah SWT mengujimu dengan menerbitkan kau pada bentuk yang sangat indah, halus dan sempurna. Berhati-hatilah sesungguhnya kaum ADAM akan menilaimu dengan pandangan yang luar biasa. Cahaya keriangan di wajahmu adalah kilauan senjata yang menawan. Madu yang menitiskan sarinya meresapkan manisnya dari bibir langsung ke hati adalah suara lembut sang gadis. Elokkanlah nada suaramu dan perlahankan gema bahasamu. Berhati-hatilah menggunakan lidahmu, jangan sampai bibirmu menutur bait-bait tajam yang akan menyakiti hati orang lain. Fikirkanlah dengan akalmu sebelum bersuara dan pandanglah teman bicara.

Tertib dan sopanmu bagai hembusan angin yang mendamaikan. Sahabat muslimahku, jagalah matamu kerana pandangan matamu akan mengalir ke hati dan terbiaslah sesuatu dari panahan syaitan durjana. Jangan sesekali kau memandang mata lelaki dengan sejenak renungan. jangan biarkan mereka menafsirkan makna yang kau bukan mahukan. Pandanglah tanpa memberi sebarang makna. Jadikanlah ghadul basar sebagai hiasan matamu. Rebahkan pandanganmu, renunglah setiap inci bumi, nescaya kau berjaya menghindari dosa yang cuba merapatimu. Sahabat yang dikasihi, sesekali dongaklah ke langit dan lihatlah kerdipan bintang-bintang, nescaya kau akan temui berjuta keagungan ciptaan Rabbul A'lamin. Betapa hidup ini berjalan di atas hikmah dan terselindung daunan pengertian. Hari-hari yang dilalui sebenarnya banyak menyembunyikan hakikat dan makrifat.

Sedarlah, hidupmu ini hanyalah secebis dari erti kehidupan. Selamilah dasar hatimu dan berbisiklah pada diri 'Alangkah kosongnya jiwa, alangkah hinanya roh tanpa hiasan apa-apa'. Salutilah dirimu dengan iman, kerana ia sangat manis pada pandangan jua perhiasan. Bersihkanlah hatimu, kemanisan iman sukar dikecapi tanpa janji Allah SWT. Jadilah muslimah yang gemar merenung kejadian yang berlaku dan memerhati hikmah dengan pandangan mata hati. Muslimah yang sejati adalah mereka yang selalu berhikmah dalam berkata-kata dan meletakkan perasaan rendah diri sebagai asas mencari ketaqwaan. Zuhud dalam pencarian dunia dengan meletakkan tasawuf ke akhirat sebagai pedoman serta melupakan sifat cintakan dunia yang berlebihan.

Serikandi muslimah sejati...
Alangkah baiknya di saat-saat kau dilanda badai kau tegar mengutip akar-akar kemelaratan dan teguh mengukir senyuman buat pengubat kerungsingan. Tatkala kau dalam dilema permasalahan yang meruncing serta kau berasa berputus harap dengan dunia, maka sebutlah dan berzikirlah ke hadrat Ilahi, moga kau bakal bertemu kedamaian. Sucikanlah wajahmu dengan air wudhuk dan basahkan matamu dengan air mata keinsafan.

-dipetik dari hasil tulisan ustaz_saff, iluvislam.com

Friday, March 27, 2009

lelaki acuan AL-QURAN

Lelaki acuan al-Quran ialah seorang lelaki yang beriman
yang hatinya disaluti rasa takwa kepada Allah SWT
yang sentiasa haus dengan ilmu
yang sentiasa dahaga dengan pahala
yang solatnya adalah maruah dirinya
yang tidak pernah takut berkata benar
yang tidak gentar untuk melawan nafsu

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menjaga tutur katanya
yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya
yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung
yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh bersifat jembalang

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menghormati ibu bapanya
yang sentiasa berbakti kepada ibu bapa dan keluarga
yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga
yang akan mendidik anak-anak dan isteri mendalami agama islam
yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan kerana dunia baginya adalah
rumah sementara menunggu akhirat

Lelaki acuan al-Quran sentiasa bersedia untuk agamanya
yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah SAW
yang boleh diajak berbincang dan berbicara
yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya

Lelaki acuan al-Quran tidak pernah membazir masa
yang matanya kepenatan kerana kuat membaca
yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan
yang bangun subuhnya penuh dengan kecerdasan
kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Lelaki acuan al-Quran yang sentiasa mengingati mati
yang baginya hidup di dunia ladang akhirat
yang mana buah kehidupan itu perlu dijagai dan dibajai
meneruskan perjuangan islam sebelum hari kemudian

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang tidak mudah terpesona dengan buaian dunia
kerana dia mengimpikan syurga di akhirat
di situlah rumah impiannya
bersama wanita acuan al-Quran

Monday, March 23, 2009

sebuah takdir kehidupan

saban hari, dugaan datang dan pergi
hinggakan ku menangis sendirian
tak pernah ku sesali akan ujian ini
kerana ku yakin akan setiap hukum Tuhan
untuk sekalian hambaNya....
hakikat sebuah kehidupan
penuh ranjau berduri
kegagalan dan kekecewaan bagai
sudah sebati dalam jiwa
namun hidup perlu diteruskan
kadangkala........
aku sering jua tewas dengan
panahan rencah kehidupan ini
hinggakan ku tahu betapa peritnya suatu dugaan
apabila pengalaman itu menjengah duniaku
seakan tidak percaya...
namun itulah kehidupan
asam garam, pahit getir adalah suatu pengalaman
bukan hanya untuk hari ini
malah untuk selamanya....
selagi kita bergelar hamba pada Nya
walau hati mengucap sabar
jiwa seakan terus bertanya
kenapa dan mengapa dugaan
seperti ini yang harus dilalui
ku pujuk diri...
mencari redha Ilahi
titisan air mata penyesalan gugur
menyembah bumi
andai ini takdirnya
untuk apa dikesali, sesuatu yang telah terjadi....
bangunlah dari kekecewaan
tegakkan semula 'iman kekuatan'
jadikan pengalaman sesuatu
yang indah untuk dikenang
walau dalam apa jua bentuknya
apa jua perisainya.....
pasrahkan diri menerima takdir Ilahi
ujian yang diberikan pasti akan ada hikmahnya
itulah janji Tuhan....

nukilan dari
nor atifah yusoff
pasir mas, kelantan