Monday, June 15, 2009

Mahu Jatuh Cinta? tapi dengan Siapa?

Once upon a time in counsellor's room.............

Am : Tuan, saya mahu mencintai seseorang. Saya fikir dialah orangnya.

Kaunselor : Siapa yang awak maksudkan dengan dia?

Am : Seorang perempuan yang bertudung, rapi menjaga aurat. Dia juga lemah lembut dan sangat berhati-hati dalam pergaulan. Dia buat saya jatuh hati.

Kaunselor : Sikapnya atau penampilannya yang membuatkan awak jatuh hati?

Am : Saya melihat pekertinya amat baik dan penampilannya mengikut batas syariat. Tidak ketat atau seksi.

Kaunselor : Pekerti dan penampilan adalah penarik utama? Ada hal lain yang buat awak tertarik?

Am : Ya, pekerti yang baik adalah symbol keagamaan. Orang yang beragama semestinya berakhlak mulia. Pemakaiannya yang menutup aurat itu adalah ukuran maruah dan kesucian diri. Jelaslah bahawa dia mempunyai jati diri muslimah yang kuat. Selain itu, dia sangat berhati-hati dalam bergaul kerana patuh pada perintah orang tuanya supaya belajar terlebih dahulu.

Kaunselor : Awak tahu bahawa orang tuanya mementingkan pelajaran?

Am : Ya, saya tahu.

Kaunselor : Kenapa awak mahu bercinta dengannya? Bukankah itu akan mengganggu pengajiannya?

Am : Saya mahu belajar dengan cemerlang, saya akan bersaing dengannya dalam pengajian secara diam-diam. Dia adalah inspirasi saya dan saya tidak akan melalaikan dia dari pengajian. Saya akan menjadi rakannya.

Kaunselor : Awak mahu menjadi rakannya atau kekasihnya?

Am : Saya tidak kisah apa anggapan dia pada saya. Saya tidak kisah status yang ingin dia berikan. Ini bukan soal siapa saya di mata dia. Yang penting ialah saya akan lakukan perkara yang sepatutnya kepada orang yang saya cintai. Saya mahu membantunya jika dia susah. Saya mahu menolongnya jika dia memerlukan pertolongan. Itu sahaja.

Kaunselor : Adakah awak lebih mengutamakan dirinya dari keinginan naluri awak?

Am : Tidak juga. Saya gembira jika dia berjaya. Saya akan gembira jika mampu membuatkan ibubapanya tersenyum bahagia. Saya benar-benar mahu membuatkan dia dan orang di sekelilingnya bahagia. Tanpa mengabaikan diri saya.

Kaunselor : Apa maksud awak dengan tidak mengabaikan diri sendiri?

Am : Saya seorang pelajar. Keutamaan saya adalah Berjaya dalam pengajian. Saya pastikan diri sendiri mendapat gred terbaik dan mendapat kerjaya yang bagus. Saya akan pastikan diri saya mampu untuk menyara kehidupan sendiri di masa akan mendatang. Selepas itu, saya akan serius mendekatinya dan mengahwininya.

Kaunselor : Maafkan saya. Tadi awak bilang mahu mencintainya. Kenapa selepas belajar baru awak mendekatinya dan mengahwininya?


Am : Jodoh ditangan Tuhan. Hanya ikhtiar milik insane. Lagipun hidup ini bukan mainan, hidup dipenuhi tanggungjawab dan tugasan. Saya tidak mahu menerima seorang isteri dalam keadaan saya tidak berkemampuan. Saya tidak mahu jadi suami jika saya masih terkapai-kapai mencari halatuju hidup.

Kaunselor : Jadi, awak tidak akan meluahkan perasaan cinta sebelum tamat belajar?

Am : Tidak sama sekali.

Kaunselor : Awak tidak risau jika dia menemui orang lain ?

Am : Jika orang itu lebih layak untuknya. Kenapa perlu saya risau ?

Kaunselor : Iyalah, semua orang takut kehilangan orang yang dicintai.

Am : Kehilangan ? Jika orang yang dicintai mendapat keberuntungan, itu bukan kehilangan yang perlu ditakutkan. Sebaliknya kita perlu mendoakan agar dia bahagia.

Kaunselor : Wah ! Awak memang mementingkan kebahagiaannya.

Am : Ya.

Kaunselor : Jadi? Sia-sialah awak mencintainya jika awak lepaskan dia begitu?

Am : Jika dia gadis yang sangat mementingkan kehendak orang tua. Jika dia benar seorang gadis yang menjaga agama. Dia tidak akan jatuh cinta pada seseorang tanpa pengetahuan ibubapa mereka. Dan gadis yang ingin saya cintai ini, seharusnya adalah gadis yang patuh dan taat pada ibubapanya.

Kaunselor : Awak yakin dia gadis sebegitu ?

Am : Ya. Saya yakin dia begitu. Lagipun, saya bukan main-main cinta. Saya benar-benar cinta. Dan saya bukan berangan mendapatkannya. Saya memang melangkah ke arahnya.

Kaunselor : Apa beza main-main dan benar-benar? Saya lihat semuanya sama. Apa beza berangan dan melangkah ke arahnya? Saya fikir itu sekadar luahan rasa.

Am : Semuanya tidak sama. Benar-benar cinta ialah mengharapkan orang yang dicintai bahagia. Mengharapkan orang yang dicintai mendapat sesuatu yang terbaik. Bukan pula memastikan cinta itu menjadi milik mutlak peribadi dan mengurungnya sesuka hati. Dan sekarang, saya mengenali ibubapa gadis itu yang menekankan pelajaran. Justeru, saya melangkah kepadanya dengan cara menhadikan diri sebagai orang terpelajar. Dengan ilmu,kejayaan, kerjaya, barulah saya merasa yakin untuk bertemu orang tuanya.

Kaunselor : Oh ! Maknanya, awak melengkapkan diri dengan criteria yang disukai orang tuanya?

Am : Ya, saya sedar ibubapanya menyukai orang terpelajar. Jadi saya akan capaikan ciri itu agar menjadi lelaki yang mapan. Kedua, saya telah menyedari bahawa gadis itu sangat taat pada ibubapanya. Maka, saya perlu bertemu dan memberitahu isi hati saya pada orang tuanya terlebih dahulu. Agar mendapat restu.

Kaunselor : Baiklah,jika ibubanya setuju bagaimana pula jika dia tidak mencintai awak ?

Am : Seandainya dia tidak mencintai saya, saya tetap akan membuatkan dia jatuh hati pada saya. Selepas kahwin, saya akan menanai cinta kami. Agar jadi subur. Lagipun, semua kisah cinta bermula dengan nihil dan terbina dengan pengorbanan dan komitmen. Saya akan berkorban dan memberikan sepenuh komitmen. Saya tidak risau jika dia belum mencintai. Saya lebih risau jika saya sudah tidak mencintainya.

Kaunselor : Apa maksud awak dengan berkorban?

Am : Hidup ini, kita bukan mencari cinta semata-mata. Sebaliknya kita melaksanakan tanggungjawab. Jika kita berusaha melunaskan segala amanah dibahu, pasti cinta akan hadir. Saya akan pastikan rindu saya ini disimpan sehingga tamat belajar. Sekarang, amanah saya adalah sebagai kawan yang membantu rakannya dalam pengajian. Selepas itu, saya akan pastikan diri saya mampu menyaranya. Saya akan bersiap menjadi seorang suami yang mandiri. Saya akan menikahinya dan memimpinnya kearah hidup yang selesa. Saya akan memberi nafkah, memberi dorongan dan sokongan agar dia menjadi isteri yang bahagia.

Kaunselor : Erm…jika saya ada seorang anak perempuan, saya fikir dia akan bahagia bila bersama awak.

Am : Saya tidak mencari bahagia di sini.

Kaunselor : Maksud awak ?

Am : Di sini saya menjalankan amanah sebagai suami sebaiknya. Saya adalah insan dan makhluk Tuhan. Saya mahu membawanya ke syurga. Jadi, saya perlu memimpinnya di dunia ini melepasi ranjau-ranjau hidup agar kami bahagia di sana. Di SYURGA.

No comments:

Post a Comment